POLITICS
ADUN PH, PN jalin kerjasama dalam kaukus rentas parti

ADUN PH dan PN yang hadir semasa sidang media penubuhan Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti di Kuala Lumpur. Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjalinkan kerjasama rentas parti dalam Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP).
Pengerusi bersama KDPP, ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim daripada Parti Amanah Negara (Amanah), berkata tujuan penubuhan kaukus ini adalah agar persaingan politik lebih adil dan tadbir urus lebih telus dapat dilaksanakan di peringkat negeri.
“Sebelum ini banyak perbincangan tentang pembaharuan reformasi institusi dan juga penambahbaikan tadbir urus demokrasi dijalankan di peringkat Persekutuan
“Jadi kita merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita bawa ini ke peringkat negeri supaya apa yang kita mahukan untuk demokrasi yang lebih baik dapat dirasakan di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.Menurut Hafidzah, KDPP akan fokus kepada tiga perkara iaitu reformasi pendanaan politik, reformasi peruntukan pembangunan kawasan (CDF) dan memperkukuh peranan semak dan imbang di peringkat DUN.
ADUN Beserah Datuk Andansura Rabu daripada Pas, berharap KDPP dapat mengkaji secara cermat isu berkaitan peruntukan kepada ADUN agar wujud keadilan dalam isu tersebut.
“Kami akan berbincang dengan melihat amalan-amalan yang dilakukan di setiap negeri, peruntukan yang diberikan kepada ADUN mengikut bidang dan juga budi bicara Menteri Besar masing-masing.
"Ia tak sama, maka inilah yang akan kita selidik lebih lanjut supaya jadi satu keadilan kepada semua,” katanya.
Selain mereka berdua, ADUN yang terlibat dalam KDPP ialah Amira Aisya Abd Aziz (Puteri Wangsa-MUDA), Rajiv Rishayakaran (Bukit Gasing-DAP), Wong Chai Yi (Simpang Pulai-PKR), Chan Chun Kuang (Semambu-PKR), Nor Asilah Mohamed Zin (Limbongan-Pas) dan Chua Wei Kiat (Rawang-PKR).
Sekretariat KDPP digerakkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Agora Society, Bait Al-Amanah dan Institusi Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami