KUCHING: Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12  (PRN-12) terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, ini kerana Sarawak ketika ini masih lagi dalam tempoh Proklamasi Darurat sehingga Februari tahun depan.

“Saya percaya kerajaan negeri melihat kepada aspek-aspek dan perundangan kalau nak adakan pilihan raya negeri.

“Tetapi itu terpulang kepada kerajaan negeri dan juga kerana penangguhan itu terkait dengan undang-undang penguatkuasaan akta darurat yang masih lagi berkuat kuasa sehingga tempoh tertentu.

“Maka kuasa-kuasa itu ada pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan juga Parlimen, jelasnya.

Beliau pada masa sama mengakui ada berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung PRN-12.

Ketika ini desas-desus berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semakin diperkatakan.

Spekulasi dihangatkan lagi dengan  kunjungan beberapa menteri persekutuan ke negeri itu termasuk lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

Ogos lalu, Al-Sultan Abdullah mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh sarawak sehingga 2 Februari tahun depan sekali gus menggantung (prn-12) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan

BACA: PRN Sarawak | Kuasa terletak di tangan Agong - Abang Jo

BACA: PRN Sarawak: Beduk hampir berbunyi, saya serah kepada 'kitak' untuk menilai - Abang Jo