Kesemua ahli Jemaah Menteri yang dilantik hari ini dijadualkan akan meneruskan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Kabinet esok (Selasa).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, istiadat tersebut akan diadakan di Istana Melawati, Putrajaya pada jam 3 petang.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri yang saya telah umumkan.

"Jalankanlah tugas anda dengan cemerlang demi rakyat dan negara," katanya ketika sidang media pengumuman senarai Jemaah Kabinet pada Isnin di Putrajaya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin ketika pengumuman itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua ketua Parti Perikatan Nasional atas mandat yang diberikan kepadanya.

"Sepanjang minggu lalu saya berpeluang berbincang untuk membentuk Kabinet baharu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada parti yang memberi cadangan," katanya lagi.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

BACA: Ucapan penuh pengumuman senarai Kabinet oleh PM Tan Sri Muhyiddin Yassin