Skip to main content

Dunia

Sekutu rapat Nicolas Maduro, Alex Saab mengaku bersalah dalam kes pengubahan wang haram AS$195 juta

Venezuela's President Nicolas Maduro and Colombian businessman Alex Saab attend an event, in Caracas, Venezuela January 23, 2024. REUTERS/Leonardo Fernandez Viloria
Alex Saab (kanan) yang juga sekutu rapat bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram di sebuah mahkamah Amerika Syarikat. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

MIAMI: Alex Saab, bekas pegawai Venezuela dan sekutu rapat bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengaku bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram di sebuah mahkamah Amerika Syarikat (AS), sekali gus membuka lembaran baharu dalam siasatan yang turut membabitkan kepimpinan tertinggi negara itu.

Kes terhadap Saab mendapat perhatian meluas berikutan Maduro dan isterinya, bekas Wanita Pertama Venezuela, Cilia Flores, dijadualkan menghadapi perbicaraan di New York tahun depan atas pertuduhan berkaitan senjata dan dadah, yang dinafikan mereka.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah, Saab, 54, bersetuju melucut hak aset berjumlah AS$195 juta selain memberi kerjasama penuh kepada pihak pendakwaan AS. 

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Maduro dan Flores ditahan tentera AS dalam satu operasi dramatik di Caracas pada Januari lalu. 

Pengakuan bersalah Saab turut mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin dipanggil memberi keterangan terhadap Maduro dalam perbicaraan akan datang.

Saab mencapai persetujuan itu pada Selasa di sebuah mahkamah di Miami, Florida, selepas sebelum ini berikrar untuk menentang semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Beliau diekstradisi ke AS pada Mei lalu oleh Presiden Pemangku Venezuela, Delcy Rodriguez, yang mengambil alih kuasa daripada Maduro.

Saab yang berasal dari Colombia dan pernah bergelar ahli perniagaan didakwa menyeleweng dana daripada program bantuan kebajikan untuk rakyat Venezuela yang berdepan masalah kebuluran sebelum memindahkan sebahagian hasil tersebut ke akaun bank di AS.

Venezuela telah lama berdepan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan susulan krisis politik dan ekonomi yang berlarutan selama bertahun-tahun.

“Penjenayah seperti Alex Saab yang mencuri daripada rakyat Venezuela serta mengeksploitasi institusi kewangan Amerika untuk membiayai aktiviti haram akan dipertanggungjawabkan oleh FBI,” kata Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel.

Bagaimanapun, perjanjian pengakuan bersalah itu tidak menyebut secara khusus mengenai kes yang sedang dihadapi Maduro di New York.

Namun, dokumen berkenaan menetapkan bahawa Saab tidak boleh melindungi mana-mana individu atau identiti melalui pemberian maklumat palsu atau dengan menyembunyikan fakta penting.

Ini merupakan kes jenayah kedua yang dihadapi Saab di AS.

Pada 2020, beliau diekstradisi bagi menghadapi tuduhan pengubahan wang haram selepas didakwa menyeleweng kira-kira AS$350 juta daripada Venezuela.

Namun, bekas Presiden AS, Joe Biden, memberikan pengampunan kepadanya pada 2023 sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan antara kedua-dua negara. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement