KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berdiri teguh bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan Ismail Sabri dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutama dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil.

"Kami yakin bahawa pelantikan beliau dapat memastikan kesinambungan dasar, perancangan serta iltizam kerajaan PN terutamanya memulihkan negara daripada impak COVID-19 dengan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.




Ismail Sabri angkat sumpah jawatan PM ke-9 di Istana Negara
[LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9


BACA: Tidak perlu undi percaya, keabsahan PM diperakui ketika angkat sumpah - Pakar Perlembagaan





Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, PN menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Hamzah berkata, PN juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengetuai tampuk pemerintahan negara dengan amanah, cekal dan beristiqamah.

Beliau berkata, semua program bantuan rakyat, pakej ransangan ekonomi termasuk perbelanjaan pengurusan COVID-19 yang diluluskan oleh Muhyiddin adalah bukti keprihatinan beliau yang akan selamanya tercatat dalam sejarah negara.

Ismail Sabri selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Al-Sultan Abdullah dan Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Istana Negara pada pukul 2.28 petang ini.

Beliau menggantikan Muhyiddin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lepas selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. - BERNAMA