Bilangan terkini ahli Pas yang aktif di seluruh negara adalah sebanyak lebih 806,000 orang, dengan Kedah mencatatkan jumlah tertinggi.

Setiausaha Agong Pas Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan, keahlian Pas sebelum ini mencecah lebih satu juta, namun terdapat kira-kira 200,000 ahli yang tidak aktif.

Selepas melalui pemutihan, katanya, jumlah ahli Pas setakat 20 Ogos adalah lebih 800,000.

"Dari jumlah 806,159 orang ahli seluruh negara yang aktif, itu pun termasuk yang mendaftar terus iaitu sebanyak 40,044 orang, jumlah yang tinggi ialah di Kedah 170,000, diikuti Kelantan 131,000, Terengganu 110,000.

"Tiga negeri sahaja yang mencecah ahli lebih 100,000," katanya ketika menyampaikan penggulungan pada Muktamar Tahunan Pas ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini, pada Ahad.

Kata Takiyuddin, walaupun Pas di Kelantan mempunyai bilangan cawangan paling banyak, namun keahliannya rendah, iaitu lebih 131,000 orang.

Pandemik COVID-19 turut menyebabkan pendaftaran keahlian baru berkurang, iaitu sekitar 29,000 orang sahaja dalam tempoh tahun ini sehingga September, lebih 46,000 dalam tempoh sama tahun lepas.