KUALA LUMPUR : Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribum Bersatu (Bersatu) mencadangkan supaya Akta Antilompat Parti yang telah diluluskan oleh Parlimen dikaji semula.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media pasca mesyuarat khas MPT Bersatu berkata, ia susulan daripada pihaknya melihat terdapat kelemahan terutama melibatkan situasi yang mana kes ahlinya yang bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Kes itu masih menunggu keputusan mahkamah. Di peringkat Speaker telah memutuskan mereka tidak melanggar (akta).

"Speaker dalam kes ini adalah orang yang berkepentingan yang mana beliau adalah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jadi, kita dapati apa-apa keputusan yang dibuat adalah terpengaruh atau dipengaruhi kedudukannya sebagai ahli PKR.

"Jadi ini saya merasakan sesuatu yang tidak adil. Kita sekarang berhadapan dengan kes baharu (penarikan sokongan) ini," katanya.

Jelasnya, perkara ini akan menjejaskan pelaksanaan hukuman yang berkesan disebabkan situasi sebegitu. 

Dalam pada itu, pihak Bersatu akan membuat laporan polis dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam masa terdekat berhubung pernyataan penarikan sokongan ahli-ahlinya kepada  kerajaan.

Ini susulan dakwaan kemungkinan terdapat tawaran habuan lumayan yang diberikan kepada mereka sehingga mengubah pendirian sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

"Tindakan seperti itu melanggar peruntukan akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Laporan kepada pihak polis kita akan lakukan dalam masa terdekat. Kita sudah kumpulkan maklumat-maklumat yang diperlukan," tambahnya lagi.

Memberi contoh ahlinya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim memberitahu dalam mesyuarat parti itu sebelum ini bahawa beliau mendapat tawaran-tawaran dipercayai daripada tertentu, namun telah menolak kesemuanya.

Bagaimanapun pendirian itu berubah apabila beliau menyatakan sokongan kepada kerajaan baru-baru ini.

Tambah Muhyiddin, perkara itu jelas melanggar peruntukan undang-undang.

Terdahulu, empat ahli Parlimen dari Bersatu menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Mereka adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzukarnain Abdul Khalid disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik.