Ahmad Fayhsal umum lepas jawatan Ketua Armada Bersatu

Sinar Harian
Mac 11, 2023 05:10 MYT
Wan Ahmad Fayhsal melakukan gimik perasmian ABRO dan PASKAR pada Perhimpunan Agong tahunan Armada. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengumumkan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya ketika ini pada pemilihan akan datang.
Jelas Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang itu, keputusan tersebut diambil susulan beliau telah melebihi umur yang sah untuk menerajui sayap parti itu.
"Perhimpunan Agung Tahunan Armada (ini) adalah yang terakhir saya. Saya akan graduate (melangkah) ke fasa seterusnya.
"Jadi saya akan wariskan Armada kepada perwakilan untuk teruskan pertempuran akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada di sini pada Sabtu.
Tambahnya, pemilihan parti yang dijadual berlangsung padq Oktober depan akan menentukan calon yang akan menggantikan tempatnya nanti.
Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai Ketua Armada dalam pemilihan parti itu pada Ogos 2020 lalu.
Beliau pada ketika itu menewaskan pesaing tunggalnya, Muzzammil Ismail yang merupakan exco Armada. -Sinar Harian
#Ahmad Fayhsal #Ketua Armada Bersatu #Ahli Parlimen Machang #Perhimpunan Agung Tahunan Armada