Skip to main content

Malaysia

Peningkatan pelawat dari Singapura ke Malaysia cermin kerjasama pelancongan yang kukuh

Azfar berkata negara kota itu kekal sebagai pasaran utama dan terbesar Malaysia bagi sektor pelancongan, menyumbang 21.1 juta pelawat atau hampir separuh daripada keseluruhan 42.2 juta ketibaan antarabangsa tahun lepas. - Gambar fail/Bernama
Azfar berkata negara kota itu kekal sebagai pasaran utama dan terbesar Malaysia bagi sektor pelancongan, menyumbang 21.1 juta pelawat atau hampir separuh daripada keseluruhan 42.2 juta ketibaan antarabangsa tahun lepas. - Gambar fail/Bernama

SINGAPURA: Aliran kukuh pelawat dari Singapura ke Malaysia pada 2025 mencerminkan keyakinan, keterhubungan dan kekuatan berterusan kerjasama pelancongan antara kedua-dua negara, menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Mengulas statistik, Azfar berkata negara kota itu kekal sebagai pasaran utama dan terbesar Malaysia bagi sektor pelancongan, menyumbang 21.1 juta pelawat atau hampir separuh daripada keseluruhan 42.2 juta ketibaan antarabangsa tahun lepas.

"Ini bukan sekadar statistik. Ini adalah satu pernyataan keyakinan serta keterhubungan, dan juga mencerminkan kekuatan berterusan kerjasama pelancongan Malaysia-Singapura," katanya pada Majlis Makan Tengah Hari Penghargaan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Tourism Malaysia-Singapura, pada Selasa.

Sepanjang tahun itu, Azfar berkata Pejabat Tourism Malaysia-Singapura melaksanakan 45 inisiatif promosi strategik, merangkumi pameran dan lawatan suai kenal hingga seminar, jerayawara serta promosi bersama di bawah Program Geran Padanan Penerbangan Sewa Khas (GSPC).

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia-Singapura Norliza Md Zain berkata pejabat berkenaan telah diamanahkan dengan mandat besar untuk membantu Malaysia melepasi sasaran 47 juta ketibaan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Marilah kita bekerjasama untuk memastikan Tahun Melawat Malaysia Truly Asia 2026 bukan sahaja mencapai sasarannya, tetapi juga melebihi sasaran tersebut dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi wajib dikunjungi oleh pelancong di seluruh dunia," tambahnya.

Pejabat Tourism Malaysia-Singapura pada Selasa meraikan kira-kira 80 pemain industri pelancongan Singapura, termasuk ejen pelancongan, pengusaha bas dan syarikat penerbangan.

-- BERNAMA



 

Advertisement

Must Watch Video