Peranan pembangkang amat penting dalam sesebuah kerajaan, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Disebabkan itu, katanya, pemimpin UMNO seperti Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ahmad Maslan perlu terus berada di blok pembangkang.

Nurul Izzah secara berseloroh berkata, Ahmad mempunyai peluang cerah menjadi pembangkang yang hebat sekiranya terus bersama Barisan Nasional (BN).

"Kita perlu mula terima bahawa tiada kerajaan boleh berfungsi tanpa pembangkang yang berkemampuan.

"Saya menghargai kedudukan dan peranan Ahmad sebagai Ahli Parlimen Pontian. Dia sering berdiri dan terlibat dengan bahas (di dalam Dewan Rakyat).




"Saya tidak mahu dia lompat (parti), tidak ke PKR atau ke Bersatu. Tolong kekal di dalam UMNO. Teruskan khidmat anda," katanya pada Forum 'New Malaysia Rising: The Challenge Of Fulfilling The Dreams' di Universiti Sunway, di sini, pada Selasa.

Tambah Nurul Izzah, aktiviti melompat parti harus dihentikan demi kebajikan rakyat.

Selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu, beberapa Ahli Parlimen UMNO telah keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk bekas menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

BACA: Tiada agenda terima anggota Parlimen UMNO sertai Bersatu - Mukhriz

BACA: Ahmad Jazlan nafi sertai Bersatu