KUALA LUMPUR : Akta Parlimen Berpenggal boleh dilaksanakan secara berasingan dengan Akta Anti Lompat Parti namun ia tidak seharusnya mengganggu-gugat Perlembagaan sedia ada.

Ahli Majlis Perpaduan Negara, Prof Datuk Sivamurugan Pandian berpendapat, akta tersebut boleh dilaksanakan tetapi juga harus bersifat jangka panjang dengan implementasi yang betul. 

“Saya berpendapat boleh diletakkan secara berasingan tetapi tanpa mengganggu-gugat roh Perlembagaan dan memastikan jika ia mahu dimplementasi, ia harus bersifat jangka panjang.

“Kita juga perlu pastikan dengan pelaksanaan ini kita tidak berpatah balik selepas 10 tahun misalnya seperti mana yang dilakukan di Britain.

“Ini kerana beberapa perkara juga harus diambil kira berdasarkan kepada suasana politik yang tidak menentu,” katanya kepada AWANI Pagi pada Isnin.

AWANI Pagi: Berita tumpuan & menarik di astroawani.com [15 Januari 2024]

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang mencadangkan supaya satu Rang Undang-Undang bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir negara sehingga ke akhir penggal dibentangkan di Parlimen.

Jelasnya lagi, gabungan parti politik yang tidak teguh boleh mengganggu-gugat hubungan intra dalam parti gabungan dan menjejaskan kelulusan di Parlimen serta boleh memberi impak pada sesuatu keputusan yang ingin dicapai.

Pada masa sama, Sivamurugan yang juga pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, apa sahaja yang ingin dilakukan perlu berpaksikan kepada roh demokrasi dan tidak meruntuhkan kepercayaan rakyat.

“Saya rasakan walau apa sahaja mahu dilakukan perlu melihat kepada roh demokrasi harus melihat kepada usaha untuk mempertahankan apa yang telah kita bina selama ini untuk bergerak ke hadapan bukannya bergerak ke belakang.

“Ia juga perlu memastikan tidak menganggu-gugat apa yang telah terpelihara di bawah mandat yang telah diberikan kepada rakyat dan kita juga harus akur bahawa ia tidak perlu sama sekali mengenepikan kearifan pihak Istana Negara dalam pelantikan dan juga budi bicara,” jelasnya.