Skip to main content

Politik

Akui kelemahan di Negeri Sembilan, Aminuddin serah parti tentukan kedudukan

Aminuddin Harun, PD
Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR menegaskan, beliau tidak akan melarikan diri daripada memikul tanggungjawab mahupun menuding jari mencari kesalahan pihak lain. - Gambar fail
Advertisement

AYER KEROH: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun secara terbuka menerima tuntutan enam Ketua Cabang di negeri itu yang mendesak beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap prestasi dan kekalahan parti dalam pilihan raya lalu.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR menegaskan, beliau tidak akan melarikan diri daripada memikul tanggungjawab mahupun menuding jari mencari kesalahan pihak lain.

"Saya mengambil maklum tuntutan enam Ketua Cabang Negeri Sembilan yang mahu saya mengambil tanggungjawab. Saya ingin menyatakan secara terbuka bahawa saya bersetuju dengan tuntutan tuan-tuan.

"Saya memimpin, maka saya bersedia untuk bertanggungjawab. Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab dan saya tidak mahu menuding jari kepada Presiden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.

Mengulas mengenai kedudukan kepimpinannya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memohon maaf kepada seluruh anggota parti atas segala kepincangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti Pusat untuk membuat keputusan.

"Adakah segala strategi yang kita lakukan berjaya? Tidak. Adakah terdapat kelemahan dalam kepimpinan? Ya, saya mengakui. Saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh anggota parti atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang saya memimpin.

"Jawatan bukan milik saya, amanah adalah milik parti. Jika parti melihat ada keputusan yang perlu dibuat demi masa depan KEADILAN, saya akan menghormatinya," tegas beliau.

Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan bahawa keputusan pilihan raya tidak wajar dijadikan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi titik mula menyusun semula jentera akar umbi agar PKR tidak sekadar menjadi "parti bermusim".

"Kita tidak boleh menuding jari kepada rakyat dan mengatakan rakyat tidak faham. Persoalannya ialah apakah yang menyebabkan rakyat tidak memilih kita. Itulah soalan yang mesti kita jawab dengan jujur untuk mencari jalan keluar.

"Kita mungkin kalah dalam satu pilihan raya, tetapi jangan kita kalah dalam perjuangan. Kita mungkin kehilangan kerusi, tetapi jangan kita kehilangan prinsip," ujarnya lagi.

Keputusan rasmi pilihan raya di Negeri Sembilan baru-baru ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) muncul sebagai blok dominan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas menguasai 18 daripada keseluruhan 36 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada jumlah 18 kerusi yang dimenangi gabungan itu, UMNO memperoleh 16 kerusi manakala MCA menyumbang dua kerusi.

Pakatan Harapan (PH) pula meraih sebanyak 11 kerusi DUN, dengan sembilan kerusi dimenangi oleh DAP dan dua kerusi oleh PKR, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) tidak mencatatkan sebarang kemenangan.

Sementara itu, blok Perikatan Nasional (PN) menguasai tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang terdiri daripada empat kerusi Pas dan tiga kerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Must Watch Video

Advertisement