KUCHING: Selepas empat hari penamaan calon, Datuk Ali Biju hari ini memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan untuk tidak bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.39 Krian dibuat bagi memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Saya telah mendapat nasihat daripada pimpinan tertinggi parti serta jaminan daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati di antara PN dan Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi GPS.

"Saya penuh yakin bahawa muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuhkan hubungan yang utuh di antara PN dan GPS," katanya dalam kenyataan tersebut.

Menerusi penarikan tersebut, Ahli Parlimen Saratok itu berkata beliau akan memberikan sokongan penuh kepada calon GPS, Friday Belik.

"Saya menyeru kepada seluruh pengundi di DUN N.39 Krian, DUN N.38 Kalaka, dan DUN N.40 Kabong yang kesemuanya di bawah Parlimen P.205 Saratok untuk memberi dukungan yang padu kepada calon-calon GPS," katanya.

Dalam perkembangan sama, Ali menjelaskan keputusan menawarkan diri sebagai calon DUN N.39 Krian dalam PRN12 Sarawak dibuat setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi di DUN tersebut.

Sebagai wakil rakyat yang dipilih sejak 2011, beliau menambah dukungan dan sokongan padu tersebut telah memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.

Bagaimanapun, beliau menginsafi hakikat bahawa keputusan tersebut akan menjejaskan hubungan baik di antara Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan GPS.

Terdahulu, Ali mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN N.39 Krian.

BACA: PRN Sarawak: Ali Biju bertanding Bebas, sudah tentu saya kecewa - Abang Jo

BACA: PRN Sarawak: Ali Biju dikompaun RM4,000, penyokong gagal patuh SOP ketika penamaan calon

Beliau yang juga penyandang kerusi itu, berdepan saingan empat penjuru iaitu Musa Dinggat (PSB), Danny Kuan (PBK) dan Friday (GPS).

Bagaimanapun, tindakan Ali itu mengundang kekecawaan Abang Johari, yang disifatkan sebagai melanggar perjanjian antara Bersatu  dan GPS.