Parti Amanah Negara (Amanah) bukanlah sebuah parti yang memberi saingan besar kepada PAS pada Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) ke-11 akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata rakyat juga telah menyedari bahawa Amanah ibarat khadam kepada parti DAP.

"Kita tidak menganggap (Amanah) sebagai satu saingan yang mencabar pada pilihan raya ini. Khususnya apabila rakyat, terutama yang beragama Islam (dan) kaum Bumiputera, menyedari bahawa Amanah merupakan khadam kepada DAP," katanya pada Majlis Pengumuman Calon PAS PRN Sarawak ke-11 di sini pada Rabu.

Mengulas berkenaan aspirasi PAS jika berjaya memenangi kerusi pada PRN Sarawak kali ini, Abdul Hadi berkata walaupun secara jelas PAS tidak mampu membentuk kerajaan negeri, namun parti itu akan memastikan pandangan dan mesej yang dibawa didengari kerajaan negeri.

"Kita tahu, kita ada 11 kerusi sahaja. Kalau kita menang semua kerusi pun, kita tahu kita tidak boleh membentuk kerajaan negeri. Tapi ingat, kalau kita menang kita akan pastikan suara rakyat yang kita sampaikan didengari oleh kerajaan negeri.

Menurut Hadi, walaupun secara jelas PAS tidak mampu membentuk kerajaan negeri, namun parti itu akan memastikan pandangan dan mesej yang dibawa didengari.

"Kita juga akan menjadi semak dan imbang kepada mana-mana kerajaan yang akan dibentuk nanti," katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Selain yakin PAS mampu memberi saingan kepada parti lain, Abdul Hadi berpandangan beberapa kerusi DUN Sarawak akan dapat diduduki kali ini.

Seorang calon bukan Islam dan seorang wanita adalah antara 11 yang menjadi sandaran buat PAS dalam usaha untuk bertapak dalam politik Sarawak pada pilihan raya negeri kali ini.

Lima daripada 11 calon itu berusia di bawah 35 tahun terdiri daripada pelbagai latar belakang dan merupakan kalangan profesional daripada syarikat multinasional, pesara, usahawan dan bekas penjawat awam.

PAS akan bertanding di Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju, yang merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri yang baharu.