JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berharap pucuk pimpinan akan meletakkan calon tempatan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada pada 9 September depan.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, perkara tersebut antara yang dicapai hasil mesyuarat yang diadakan bersama pimpinan Amanah negeri berhubung kriteria calon yang akan mewakili parti dan Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Sri Gading itu menegaskan kedua-dua kerusi berkenaan tidak boleh dianggap selamat memandangkan suasana politik pada ketika ini berbeza dan tidak boleh disamakan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu.

"Amanah Johor berpandangan calon di kedua-dua kerusi itu perlu diberi keutamaan kepada anak tempatan dan orang Johor. Hasrat ini telah pun disampaikan kepada pucuk pimpinan.

"Bagaimanapun, setakat ini hanya Amanah Kawasan Pulai telah menghantar nama calon. Segala keputusan akan diputuskan pucuk pimpinan kelak, apa-apa pun kita di peringkat negeri akan mengambil maklum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Amanah Johor di Kangkar Pulai pada malam Isnin.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai khabar angin mengenai Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang berkemungkinan besar bertanding di Parlimen Pulai, Aminolhuda berkata, perkara tersebut diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk memberi kata putus.

"Di peringkat negeri, senarai nama calon masih giat dilakukan kerana setakat ini kita baharu menerima senarai calon daripada Amanah Pulai.

"Berhubung nama-nama besar, ia terpulang kepada pucuk pimpinan, namun di peringkat negeri kita sudah nyatakan pandangan mahu anak tempatan dan orang Johor sebagai calon," ujarnya.

Aminolhuda menambah Amanah kawasan Parlimen Pulai dan juga Parlimen Bakri yang menaungi DUN Simpang Jeram, sudah diarahkan untuk menyerahkan senarai nama calon PRK sebelum minggu depan.

"Senarai penuh calon yang dikemukakan kawasan akan kita terima pada minggu depan dan akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat kedua sebelum ia diserahkan kepada Pusat.

"Selepas selesainya Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri ini, Amanah Pusat pula akan duduk berbincang untuk memuktamadkan calon terbaik kedua-dua kerusi berkenaan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pada PRU15, Allahyarham menang kerusi Parlimen Pulai untuk penggal kedua dengan majoriti 33,174 undi.

Sebelum itu, pada PRN Johor Mac 2022, beliau juga menang kerusi DUN Simpang Jeram di Muar selepas memperoleh 8,749 undi menewaskan tiga pencabar dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). - Sinar Harian