SEREMBAN:
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, tiba di Istana Hinggap di sini pada jam 10.20 pagi Jumaat untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Sesi menghadap itu dipercayai bagi membincangkan kemelut politik negeri yang berlarutan sejak awal minggu ini, khususnya membabitkan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar.
Terdahulu, kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz dilihat memasuki pekarangan Istana Hinggap kira-kira jam 9.37 pagi.
Kenderaan yang membawa Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari, Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid, dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi, turut dilihat memasuki istana.
Sesi menghadap pada Jumaat itu dipercayai kali kedua Ismail menghadap Tuanku Muhriz minggu ini selepas pertemuan pertama pada petang Selasa lalu.
Perkembangan terbaharu itu sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan, susulan spekulasi mengenai kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar yang menjadi perhatian sejak Isnin.
Sebelum ini, Istana Negeri Sembilan menjelaskan bahawa sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada Rabu turut memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima sebarang notis atau pemakluman rasmi berhubung peletakan jawatan Ismail.
Pada masa sama, kemelut berkenaan turut menyaksikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan khas pada Selasa.
Hasil pertemuan itu, kedua-dua gabungan dilaporkan mencapai kata sepakat untuk menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti bagi menentukan calon Menteri Besar baharu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai kedudukan Ismail mahupun keputusan berhubung kepimpinan pentadbiran negeri.