Skip to main content

Politik

Aminuddin minta rakyat Negeri Sembilan siap sedia hadapi PRN

SEREMBAN, 6 Mei -- Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bersama orang ramai selepas Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan di luar perkarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini.  Turut hadir, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aminuddin (depan, empat dari kiri) sewaktu majlis Ceramah Perdana Pimpinan Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, pada Rabu malam. - Bernama

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta rakyat negeri itu untuk bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Mengambil kira kemelut dalaman politik yang berlaku ketika ini jelasnya, pilihan raya itu boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Kita patut bersyukur kerana itu.. saya rasa apa yang berlaku ini satu pengajaran, satu pembelajaran, satu didikan kepada kita supaya kita sentiasa tenang sabar, dan kita jangan gelabah.

“Dalam masa sama, saya nak rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia hadapi pilihan raya. Mereka tak puas hati lagi, hari ini pernyataan demi pernyataan mereka buat seolah-olah kita terpaksa menerima. Kita juga manusia, saya juga manusia, saya rasa tercalar.. saya juga rasa hiba,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi di Seremban, hari ini. 

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan menerima keputusan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan, namun kekal dengan pendirian dan tindakan menarik sokongan kepada Menteri Besar. 

Mengulas lanjut, Aminuddin dalam ucapannya itu turut meminta seluruh jentera PH negeri itu menyusun strategi untuk berdepan sebarang kemungkinan politik selepas ini.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah menguatkan jentera parti dan tidak lemah dengan sebarang gangguan daripada parti lawan.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menzahirkan rasa kecewa, ketika krisis global mula memberi cabaran besar kepada ekonomi negara, mereka memilih untuk mencipta kemelut politik yang tidak menguntungkan rakyat.

 

Must Watch Video