Skip to main content

Politik

AMK cabar Rafizi dedah belanja perjuangan sia-sia parti Kancil di PRN Melaka

Rafizi sebelum ini mendedahkan penyata kewangan kempen parti itu pada PRN Johor, sambil berkata amalan tersebut akan diteruskan dalam semua pilihan raya yang disertai mereka pada masa depan. - Gambar fail/Facebook Rafizi Ramli
Rafizi sebelum ini mendedahkan penyata kewangan kempen parti itu pada PRN Johor, sambil berkata amalan tersebut akan diteruskan dalam semua pilihan raya yang disertai mereka pada masa depan. - Gambar fail/Facebook Rafizi Ramli
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dicabar untuk mendedahkan secara terperinci maklumat perbelanjaan serta perolehan yang dijana parti Bersama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka khususnya apabila parti tersebut masih baharu dalam landskap politik negara.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Huraimi Hilman mempersoalkan, mengapa sebuah parti yang baru mula membina kekuatan politik dilihat mampu menggerakkan kempen dengan perbelanjaan yang besar.

Sedangkan, tegasnya, asas pembinaan sesebuah parti politik seharusnya bermula dengan kerja-kerja khidmat masyarakat, pengukuhan akar umbi dan usaha mendekati rakyat.

Advertisement

"AMK percaya bahawa kepercayaan rakyat tidak boleh dibeli melalui kempen yang besar, bahan promosi yang mewah atau perbelanjaan politik yang tinggi.

"Kepercayaan perlu dibina melalui kehadiran yang konsisten, keprihatinan terhadap masalah masyarakat serta kesungguhan memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Bersama sebelum ini mendedahkan penyata kewangan kempen parti itu pada PRN Johor, sambil berkata amalan tersebut akan diteruskan dalam semua pilihan raya yang disertai mereka pada masa depan.

Rafizi berkata, partinya sedang merintis budaya politik baru dengan matlamat akhirnya untuk membanteras rasuah.

Dalam pada itu Huraimi turut mempersoalkan apakah ukuran kejayaan sesebuah parti politik itu terletak pada jumlah wang yang dibelanjakan untuk pilihan raya atau sejauh mana parti tersebut berjaya membina hubungan dan kepercayaan rakyat?

Jelasnya, apabila calon-calon parti Bersama gagal memperoleh kemenangan dan sebahagian besarnya kehilangan wang deposit, seharusnya menjadi ruang untuk menilai semula keberkesanan pendekatan kempen serta keutamaan perbelanjaan parti tersebut.

"AMK tidak mempertikaikan hak mana-mana parti untuk berbelanja bagi tujuan kempen pilihan raya. Namun, apabila perbelanjaan yang besar menjadi persoalan awam, penjelasan mengenai sumber dana, jumlah sumbangan dan pecahan penggunaannya adalah sesuatu yang wajar dituntut.

"Lebih penting, wang yang digunakan dalam politik tidak seharusnya menjadi ukuran utama kekuatan sesebuah parti. Sebaliknya, sumber dan tenaga yang dimiliki perlu dimanfaatkan untuk membina masyarakat, membantu golongan memerlukan dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

"Jangan sampai politik hanya sibuk membelanjakan wang untuk memenangi pilihan raya, tetapi gagal membina kepercayaan rakyat," katanya.

Bagi AMK ujarnya, politik yang matang bukan bermula dengan kempen yang mahal, tetapi khidmat yang ikhlas.

Katanya, rakyat juga tidak memerlukan parti yang hanya hadir ketika pilihan raya, sebaliknya mereka memerlukan kepemimpinan yang sentiasa hadir ketika rakyat berhadapan kesusahan.

Must Watch Video

Advertisement