Skip to main content

Politik

AMK perlu strategi baharu tawan pengundi 45 tahun ke bawah - Kamil

MELAKA, 14 Ogos -- Ketua Angkatan Muda Keadilan, Kamil Munim bercakap pada sidang media ketika Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhammad Kamil berkata langkah itu kritikal memandangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menuntut parti mengambil tindakan untuk meraih keyakinan rakyat. - Gambar fail
Advertisement

MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu melakukan anjakan paradigma dan memperkemas strategi bagi memenangi sokongan pengundi berusia 45 tahun ke bawah yang menjadi segmen terbesar dalam daftar pemilih negara.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata langkah itu kritikal memandangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan menuntut parti mengambil tindakan untuk meraih keyakinan rakyat.

“Kita baru selesai menghadapi dua PRN yang memberikan kesan besar kepada kita dan menuntut untuk kita melihat semula sejauh mana kekuatan serta strategi yang perlu digunakan,” katanya.

Muhammad Kamil berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada hari kedua Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Beliau berkata pengundi berusia 45 tahun dan ke bawah selaku segmen terbesar dalam daftar pemilih menjadikan golongan itu penting dalam usaha memastikan kemenangan parti.

Beliau turut mengingatkan kepimpinan akar umbi agar tidak sekadar menumpukan kepada aspek pentadbiran, sebaliknya memperkukuh keupayaan memimpin dengan menyelami keresahan rakyat secara lebih mendalam.

Walaupun maklum balas rakyat terhadap prestasi pentadbiran Kerajaan MADANI adalah baik, namun beliau berkata keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan masih terdapat jurang yang perlu dikenal pasti dan ditangani parti.

Muhammad Kamil berkata pemimpin parti perlu mendekati masyarakat, khususnya kelompok kecil di kawasan desa bagi memahami keresahan dan menawarkan penyelesaian yang mampu meyakinkan rakyat.

Beliau berkata usaha meneruskan agenda reformasi dan perubahan memerlukan seluruh kepimpinan serta jentera parti bersedia memimpin negara dan meyakinkan rakyat pada peringkat akar umbi. 

“Tugas kita bermula hari ini, mencari keresahan serta ketakutan itu dan menawarkan penyelesaian kepada permasalahan itu. Ia harus bermula daripada kita di sini, pimpinan akar umbi di dewan pada hari ini. Isi keresahan dan kekosongan dalam kalangan masyarakat itu,” katanya.

Muhammad Kamil turut mengingatkan jentera parti supaya bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang semakin hampir selain belajar daripada kekalahan sebelum ini.

Beliau berkata sejarah PKR menunjukkan parti mampu mencipta kejutan setiap 10 tahun, termasuk pada 2008 apabila menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen dan pada 2018 apabila Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement