Pas diasuh untuk tidak menyebarkan fitnah, sebaliknya Pas yang kerap terkena fitnah termasuk fitnah dan tuduhan dari DAP.

Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan, Rang Undang-undang (RUU) Akta Antiberita Tidak Benar yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam tepat pada masanya.

Katanya, pembentangan akta berkenaan kena pada masanya daripada tiada satu akta yang menghalang penyebaran fitnah dan berita palsu bahkan Pas juga sudah mengkaji akta berkenaan, yang sewajarnya dilaksanakan oleh mana-mana pihak yang menjad kerajaan.

“Kita nak beritahu, sepanjang masa ini apa sahaja keputusan yang pas buat kita tidak bergantung kepada DAP, samada DAP sokong ke tidak sokong ke, kita tidak sokong persempadanan, kenapa dia tidak kata kita sekali dengan UMNO.

"Persempadanan Pas tidak sokong, DAP pun tidak sokong, kenapa dia tidak komen, Akta ini adalah akta yang kita kaji sendiri, satu benda yang wajar yang dibuat oleh sesiapa pun yang mejadi kerajaan” katanya di sini petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan reaksi berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyatakan rasa terkejut dengan tindakan pas menyokong RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang lulus di Dewan Rakyat semalam.

Lim juga mempersoalkan pendirian Pas ketika ini yang di lihat seolah-olah menyokong kerajaan dan juga Umno

Menurut Takiyuddin lagi, dalam perbahasan akta berkenaan Pas hanya menekankan supaya akta ini dikuatkuasakan secara yang sepatutnya, tiada penyalahgunaan.

“Pada dasarnya akta ini kita terima, sebagai sesuatu yang perlu. Apabila keadaan memerlukan kepada kawalan berita-berita yang tidak boleh dikawal” katanya.

“Pendirian Pas juga kita tidak dibenarkan membuat fitnah kepada orang lain, setakat ini, kita tidak ada lagi lah, melalui media masaa atau media sosial yang Pas ini membuat fitnah atau tuduhan kepada mana-mana pihak, yang keduanya, Pas menjadi mangsa yang cukup banyak kepada fitnah-fitnah yang tidak berasas, termasuk DAP sendiri, yang banyak membuat fitnah terhadap Pas”.

Beliau turut menyifatkan DAP sudah mulai takut pada bayang sendiri dengan menuduh Pas bukan lagi sebuah parti pembangkang.

Bagi Pas tegasnya kandungan Akta berkenaan adalah langkah pencegahan, sebagai contoh orang yang difitnah melalui media sosial dan sebagainya, boleh pergi ke mahkamah, buat permohonan sebelah pihak dengan bukti-bukti dan laporan polis serta kandungan fitnah itu, dan pada masa sama, mahkamah boleh meminta orang yang buat fitnah itu menghapuskan penyiaran tersebut.