KUALA LUMPUR:Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Najib Tun Razak memuji Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'ikon kebangsaan' dan memiliki ketokohan sebagai Perdana Menteri.

Memetik laporan portal Malaysianow, Oh Ei Sun dilaporkan turut memuji Anwar sebagai seorang inklusif dan progresif.

Kata pegawai bekas Perdana Menteri itu, Anwar adalah ahli politik yang penuh dengan sifat kepimpinan yang diperlukan dalam demokrasi sihat, biarpun Presiden PKR itu gagal membentuk kerajaan melalui pembelotan ahli Parlimen.

"Anwar dapat menyatukan antara liberal dan konservatif. Anwar mampu memenangi hati kedua-dua kem itu. Dia berkarisma, ikon kebangsaan,” katanya yang dipetik dalam satu komentar diterbitkan portal saluran Channel News Asia yang berpusat di Singapura.

Ei Sun berkata beliau kagum selepas mendengar ucapan Anwar yang mampu 'memetik banyak kata-kata daripada pemikir liberal penting pada zaman ini'.

BACA: Benarkah Najib jadi 'kunci' kemaraan Anwar, DAP?

BACA: Najib akui usul rundingan dengan Anwar, MT UMNO perhalusi cadangan itu


“Saya tidak dapat menahan diri daripada memberitahu rakan di sebelah saya mengenai dengan idea progresif seperti itu, Anwar boleh menjadi seorang perdana menteri yang baik,” katanya.

Oh menambah polisi Anwar akan “menyebabkan satu keharmonian kaum yang lebih hebat”.

Komen itu dibuatnya selepas pengakuan bekas bosnya yang meminta ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong usaha Anwar bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Terdahulu, media melaporkan Najib dan PresidenUMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara bersama menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Anwar, yang sebelum itu mendakwa dirinya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional.

Anwar bagaimanapun gagal mengemukakan bukti dakwaannya semasa dipanggil ke Istana Negara mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 13 Oktober.

BACA: Portal berita dedah surat Zahid Hamidi sokong Anwar, tuntut jadi TPM

Ei Sun dalam komentarnya turut berkata pertelagahan Anwar bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 disebabkan perbezaan padangan mereka mengenai pakej pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menyelamatkan ekonomi Malaysia ketika Krisis Kewangan Asia.

Ei Sun turut mendakwa rancangan IMF akan memungkinkan pelaksanaan “langkah-langkah ketat terhadap rasuah dan kronisme” untuk menjadikan ekonomi lebih “mesra pasaran”.