KUALA LUMPUR:Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau adalah Ahli Parlimen yang mencadang rundingan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, seperti mana yang dilaporkan beberapa media sebelum ini.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rundingan itu termasuk dengan semua parti politik kecuali DAP, dan laporan yang mendakwa beliau ‘mendesak’ BN untuk menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri adalah kurang tepat.

Ujarnya lagi, perkara pertama yang beliau cadangkan adalah diadakan Pilihan Raya Umum selepas COVID-19 terkawal, dan jika itu tidak dapat direalisasikan, barulah difikirkan rundingan dengan parti-parti lain.

“Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak PN maka UMNO perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika UMNO masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.

“Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini,” katanya lagi.

Najib berkata, tidak mustahil kerjasama itu boleh berlaku memandangkan UMNO dan BN telah bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali pada bulan Februari lalu, hingga menyebabkan terbentuknya Kerajaan yang baharu.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan seorang Ahli Parlimen, yang juga pemimpin kanan BN, telah mengusulkan cadangan tersebut dalam pertemuan yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal hari ini.

BACA: Mesyuarat MP BN: Ada MP UMNO syor sokong Anwar, tolak DAP - Sumber

BACA: Benarkah Najib jadi 'kunci' kemaraan Anwar, DAP?

Seorang sumber memberitahu bahawa cadangan itu tidak diterima beberapa Ahli Parlimen, antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Sembrong), dan Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Selain itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan secara konsisten mempertahankan tiga prinsip asas UMNO dan BN iaitu 'No DAP, No Anwar' dan keputusan harus secara en-bloc.

“Datuk Seri Ismail Sabri tegas dalam pertemuan tadi bahawa en-bloc bermaksud keputusan yang dibuat haruslah secara bersama, bukan hanya semata-mata sokongan individu.

“Dalam pertemuan tadi, ramai Ahli Parlimen yang menyokong ketegasan dia pertahankan prinsip itu,” menurut seorang sumber yang rapat dengan Ismail Sabri kepada Astro AWANI.

Bagaimanapun difahamkan, ada di kalangan Ahli Parlimen BN yang menyokong cadangan menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri, khususnya mereka yang mempunyai jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Mastura ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beliau berpegang kepada prinsip “No Anwar, No DAP”, yang ditentukan oleh Mesyuarat MT sebelum ini.

Ditanya sama ada individu yang juga pemimpin kanan BN berkenaan adalan Najib, Mastura berkata - “Perlu bertanya kepada individu tersebut. Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini amat penting. Pendirian saya adalah saya tidak menyokong DSAI (Anwar Ibrahim) dan saya tidak menyokong DAP.

“Maafkan saya. Saya tak dapat nak menamakan individu tersebut di atas menghormati kerahsiaan perjumpaan hari ini,” katanya lagi.

Sementara itu, media difahamkan, mesyuarat MT UMNO malam ini akan turut membincangkan mengenai sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Mesyuarat Biro Politik UMNO pada 13 Oktober lepas memutuskan bahawa UMNO akan membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Bagaimanapun suasana politik seakan-akan berubah selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, selepas berunding dengan Raja-raja Melayu, memutuskan bahawa tiada keperluan melaksanakan Darurat di negara ini.

Tuanku juga bertitah agar ahli-ahli politik menghentikan ‘politiking’ dan memberi tumpuan kepada usaha menangani COVID-19 di negara ini, termasuk kepentingan meluluskan Belanjawan Negara 2021.