Presiden Parti Keadilan Rakyat ( PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tersinggung dengan laporan media yang didakwa terlalu memberi tumpuan kepada proses peralihan kuasa antara dirinya dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan janji kepada rakyat.

Tegas Ahli Parlimen Port Dickson itu, beliau tidak terlalu obses memikirkan soal peralihan kuasa dari Dr Mahathir kepada dirinya sebaliknya perkara itu menjadi masalah kepada orang luar dan bukan dirinya.

"Saya kadang-kadang rasa tersinggung juga kerana penulisan (tentang) Mahathir-Anwar itu yang jadi keutamaan.

"Keutamaannya adalah untuk pastikan apa yang kita janji itu ditunaikan, bahawa ada anjakan paradigma perubahan dasar dari dasar lama yang lapuk usang," ujar Anwar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau tidak mempertikai permainan orang di sekeliling untuk menganggu-gugat proses peralihan kuasa antaranya dengan Dr Mahathir.

Namun, katanya, pihak berkenaan tidak harus mengganggu pendiriannya dan PKR yang sentiasa tegas dalam proses tersebut dan memberi ruang kepada Dr. Mahathir mentadbir negara dengan baik.

"Saya nak ulang... Tak jadi masalah pada saya. Pada saya yang penting PH dengan dasarnya, jaga kepentingan rakyat tolak penyalahgunaan kuasa ini dan ruang diberikan kepada Tun Mahathir mengemudi bahtera dan Malaysia," jelas beliau.

Ujarnya, negara berdepan dengan beberapa masalah antaranya isu pengangguran, pencemaran yang berlaku di Johor yang harus ditanggani segera.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Wisma PKR negeri di Bayan Baru , George Town pada Ahad.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Anwar menafikan bahawa terdapat perpecahan dalam parti PKR sebagaimana yang di laporkan media.

Beliau mengakui wujud perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin parti namun atas dasar permuafakatan dan juga prinsip demokrasi yang dipraktikkan selama ini, masalah itu dapat diatasi dengan baik.

"Dalam tafsiran media ada pepecahan. Hari-hari banding gandingan UMNO-Pas. Saya tak tahu pecah di mana. Saya ada pejumpaan dengan pimpinan... semua hadir, semua setuju dan muafakat, ada beda pendapat.

"Kadang-kadang mereka lupa wadah kita ini adalah demokratik. Kita mesti beri ruang untuk beza pendapat dan beri teguran, termasuk teguran kepada saya. Tapi bila ada muafakat harus jaga peraturan.

"Semalam jumpa pimpinan Kedah, dihadiri semua yang di Kedah. Jadi saya masih musykil di mana yang dikatakan perbezaan besar," ujar beliau.