Anwar perlu 'berjiwa besar' - Zuraida

Astro Awani
September 22, 2019 08:14 MYT
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pertemuan itu perlu bagi membincangkan beberapa isu yang dianggap serius dan sensitif. - Gambar fail
Sebagai bakal perdana menteri kelapan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ‘berjiwa besar’ dan bersedia untuk bertemu dengan pihak yang berbeza pendapat dalam parti itu.
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mengulas penolakan Ahli Parlimen Port Dickson itu terhadap permintaannya untuk mengadakan satu ‘mesyuarat rekonsiliasi’.
“Kita nak bertemu (Anwar dalam mesyuarat rekonsiliasi) dan saya ingat (bakal) perdana menteri kelapan kena 'berjiwa besar' lah,” katanya kepada pemberita di Pandah Indah, Ampang, hari ini.
BACA: Anwar nasihat Azmin dan Zuraida datang mesyuarat
BACA: Permintaan tidak dilayan punca tidak hadir mesyuarat - Zuraida
Mengulas lanjut, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pertemuan itu perlu bagi membincangkan beberapa isu yang dianggap serius dan sensitif.
“Kita hanya nak berbincang untuk perkara-perkara yang agak sensitif dan yang tidak boleh dibincangkan secara beramai-ramai.
“Untuk memberi pandangan dan juga merangka hala tuju hadapan PKR. Kita sayang PKR dan kita juga sayang negara. Jadi, kalau parti kuat, negara pun akan kuat, itu yang kita nak buat,” kata Zuraida lagi.
BACA: Kami hanya mahu temu Anwar - Zuraida
Anwar sebelum ini bertegas tidak bersedia untuk memenuhi permintaan Zuraida yang mahukan satu “mesyuarat rekonsiliasi” diadakan antara beliau dan pihak-pihak dalam PKR yang dikatakan tidak berpuas hati dengannya.
Kata Anwar, beliau boleh berjumpa dengan mereka dalam banyak mesyuarat biasa PKR.
Mesyuarat Biro Politik PKR diadakan setiap hari Rabu manakala Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu bermesyuarat pada setiap bulan.
#Anwar Ibrahim #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #mesyuarat rekonsiliasi #naib presiden pkr #Perdana Menteri #PKR #politik #Zuraida Kamaruddin