AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta secara terus kepada rakyat bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara demi memastikan bantuan dan projek mendesak dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani yang tidak pernah mengurangkan peruntukan kepada kawasan Parlimen, sebaliknya sentiasa mencari ruang menambah bantuan secara terus tanpa melalui birokrasi berlebihan.
Jelas beliau, pendekatan berkenaan diambil bagi membolehkan keperluan rakyat di peringkat akar umbi dipenuhi segera, terutamanya dalam aspek bantuan kebajikan, kemudahan asas, dan penyelesaian masalah setempat.
"Peruntukan tak pernah dikurangkan. Malah hari ini saya nak umumkan, untuk setiap kawasan parlimen, langsung kepada rakyat, saya umumkan tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan Presiden sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh pada Ahad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, suntikan peruntukan terus itu melengkapkan pelbagai program perlindungan sosial sedia ada kerajaan, termasuk peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mencecah sehingga RM16 bilion.
Menurut beliau, usaha membasmi kemiskinan dan meringankan beban kos sara hidup rakyat sentiasa menjadi keutamaan pentadbiran negara, selain membuktikan kejayaan penurunan kadar miskin tegar yang kini berada pada paras 0.09 peratus.
"Terjemahan daripada kejayaan makroekonomi ke mikroekonomi adalah melalui program-program membela nasib rakyat. Sama ada B40 mahupun M40, bantuan persekolahan, jualan Rahmah, dan sokongan pembiayaan perumahan diberikan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kaum," jelas beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan dan jentera parti di peringkat cabang serta ranting untuk turun ke lapangan bagi menerangkan segala inisiatif serta agihan bantuan yang telah disalurkan kerajaan agar rakyat mendapat manfaat sepenuhnya.