Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) digesa menyatakan dengan jelas hala tuju serta perkara sebenar di dalam pentadbiran hari ini yang ingin diperbetulkan mereka.

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Senator Datuk Seri S. Nallakaruppan berkata, misi penubuhan Ikatan dilihat sama seperti semua parti lain di negara ini.

"Mereka baru bermula, kita tengok apa yang akan dilakukan namun realitinya memang semua parti mahukan yang terbaik untuk negara.

"Tidak salah untuk tubuhkan 20 atau 1000 parti baharu sekalipun, cuma perlu jelas apa yang mereka hendak betulkan di dalam kerajaan.

"Kalau mereka mahu betulkan, betulkan semua orangnya sekali. Semua orang akan pasti cakap parti mereka yang terbaik untuk negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Parti Ikatan dilancar, ikrar hidupkan semula aspirasi pemimpin terdahulu

Nallakaruppan mengulas aspirasi penubuhan Ikatan oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang menyifatkannya sebuah parti berbilang kaum yang mendukung bangsa Malaysia yang bersatu padu, maju, adil, saksama dan bahagia.

Tegas Abdul Kadir, antara perkara yang mencetus penubuhan Ikatan adalah apabila dia mendapati berlaku kelemahan dalam pentadbiran negara pada masa ini yang dipalit pelbagai isu negatif.

Mengulas lanjut kata Nallakaruppan, kenyataan Abdul Kadir yang mahu mengaktifkan semula Wawasan 2020 merupakan harapan setiap parti yang mengimpikan sebuah negara maju menjelang tahun tersebut.

"Mereka mahu aktifkan kembali Wawasan 2020, tidak salah kalau dia mahu ambil peranan begitu.

"Semua orang juga mahu majukan negara. Ini negara kita dan tidak ada parti yang ditubuhkan yang mahu melihat rakyat di dalam negaranya sengsara," jelasnya.

Nallakaruppan sebelum ini merupakan bekas Ketua Cabang PKR Kepong dan juga bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC.

BACA: Nalla buat laporan polis, dakwa ada pihak cuba halangnya bertanding di Kajang

Pada musim pilihan raya kecil (PRK) Kajang tahun lepas, Nallakarupan pernah membuat laporan polis kerana mendakwa ada pihak cuba mengganggu dan menghalang beliau daripada bertanding pada PRK berkenaan.

Nallakarupan pada waktu itu meminta polis menyiasat gangguan terhadapnya yang didakwa bertujuan menghalang hasratnya untuk bertanding pada PRK itu.