KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri menyatakan apabila Darurat tidak bersambung Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Dalam satu kenyataan, pejabat Perdana Menteri  memperjelaskan tiga ketetapan yang diputuskan kabinet susulan kenyataan media Istana Negara, hari ini. 

"Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

"Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa," katanya dalam kenyataan, di sini.

Kata kenyataan itu lagi, kerajaan berpandangan semua tindakan mengenai pembatalan Ordinan Darurat yang diambil adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Pejabat Perdana Menteri, kenyataan yang dibuat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah satu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenar secara telus.

Jelas kenyataan itu lagi, Perdana Menteri telah menyembah maklum pandangan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai lalu bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen.

Ia memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membatalkannya.

"Pemakluman oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.

LAPOR LANGSUNG: Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguh, bersambung jam 10 pagi Isnin

"Oleh itu, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Peguam Negara telah memohon menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2021 pukul 12.00 tengahari untuk menjelaskan kedudukannya.

"Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

"Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya.

"Di samping itu, sidang Parlimen yang berlangsung adalah Mesyuarat Khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat," kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ordinan ini memperuntukkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuat-kuasa pada 21 Julai.

Sementara itu, pada 23 Julai pula, Perdana Menteri telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku mengenainya.

"Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini,  Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 40 (1) memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini.

"Tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat
berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

"Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu," jelas kenyataan itu. 

Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai kemudian telah menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

"Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri  sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undangundang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan," kata Pejabat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, kenyatan itu berkata, Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya sentiasa bertenang dan berharap isu tersebut akan dapat diselesaikan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.