KUALA LUMPUR:Armada Bersatu menyeru semua pihak bekerjasama untuk menjamin kestabilan politik agar seluruh usaha dapat ditumpukan untuk mengalahkan gelombang ketiga wabak COVID-19.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui pelbagai inisiatif akan meneruskan agenda untuk membantu negara bangkit semula daripada impak gelombang ketiga ini, di samping menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat seluruhnya.

"Untuk itu, kami dengan sepenuh harapan dan mendukung cita awam menyeru agar semua pihak khususnya sayap-sayap pemuda parti politik agar mengetepikan sebarang sengketa dan menyambut seruan gencatan politik ini dengan sepenuh ketulusan.

"Barisan pimpinan parti dalam kerajaan PN jua perlu menzahirkan iltizam dan keikhlasan untuk menjayakan genjatan politik ini dengan mengelakkan sebarang kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti.

"Sebaliknya, panduan yang jelas wajar diberikan kepada semua ahli supaya kerjasama dapat diperkukuh di semua peringkat parti termasuk di akar umbi," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

BACA : UMNO umum gencatan politik, sokong penuh Perikatan Nasional - Zahid Hamidi

BACA : Kecelaruan dalam PN boleh selesai jika semua pihak duduk berunding - Mohd Amar


Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan gencatan politik perlu dilakukan.

Katanya, parti itu juga dalam masa sama mengambil pendirian untuk mendokong kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Dalam pada itu kata Wan Ahmad Fayhsal, ARMADA Bersatu sentiasa siaga memainkan peranan aktif sebagai 'neutral ground' untuk menjayakan sebarang perbincangan ke arah itu.

"Mudah-mudahan usaha ke arah persefahaman dan perdamaian ini diberkati Allah dan beroleh kejayaan demi rakyat Malaysia seluruhnya.

"Kami juga memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi negara ketika Malaysia sedang berdepan krisis.

"Jangan ada mana-mana pihak mengganggu-gugat pentadbiran negara di bawah PN yang sedang menumpukan sepenuh usaha untuk melindungi rakyat daripada penularan COVID-19 yang semakin membimbangkan," ujarnya.