KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah bertemu Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung pembentukan barisan Exco Negeri Melaka.

Beliau yang juga Presiden UMNO itu menjelaskan, beberapa jawatan Timbalan Exco turut akan diwujudkan, malah barisan Exco kali ini akan melibatkan rakan-rakan politik Kerajaan Perpaduan di Melaka.

"Tadi saya telah dikunjungi Ketua Menteri Melaka yang baharu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk mengemukakan senarai nama barisan Exco Melaka bersama portfolio dan saya yakin beliau akan mempersembahkan nama-nama kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

"Terdapat perubahan bukan sahaja dari portfolio, juga beberapa nama mungkin akan diwujudkan jawatan Timbalan Exco untuk beberapa portfolio tertentu.

"Saya ingin memgesahkan rakan-rakan kita dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat akan diambil kira di barisan Exco ada. Ini satu optik baru... menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, nama-nama barisan Exco itu akan dipersembahkan oleh Ab Rauf kepada Mohd Ali.

"Saya beri kepercayaan kepada Ketua Menteri Melaka yang baharu untuk persembahkan kepada Tuan Yang Terutama.

"Kita harus beri peluang beliau, buktikan beliau boleh lakukan yang terbaik dan kesenimambungan pentadbiran terdahulu diteruskan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak di sini pada Ahad.