SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijangka diumumkan seawal Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin depan.
Beliau berkata, senarai calon Exco masih belum dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, selain perlu melalui pertimbangan di peringkat parti.
“Bayangan dah ada, tinggal lagi kita sedang… belum dipersembahkan kepada Tuanku dan juga pada pihak parti sendiri.
“Insya-Allah, paling cepat hari Jumaat, paling lambat hari Isnin,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri, di sini, pada Selasa.
Mengulas dakwaan tular di media sosial kononnya terdapat beberapa nama calon Exco ditolak, Ismail berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.
Pada masa sama, beliau menafikan menerima sebarang maklumat mengenai dakwaan bahawa wakil Pakatan Harapan (PH) akan disenaraikan dalam barisan Exco negeri.
“Sekarang ini saya sedang menyusun barisan Exco yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan juga Parti Wawasan Negara (WAWASAN),” katanya lagi.
Ditanya sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias akan disenaraikan sebagai Exco, Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Tak pasti, tengoklah nanti. Bila umum nanti,” katanya.