JOHOR BAHRU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh menjadi teladan dan contoh kepada seluruh rakyat di negara ini untuk membentuk sebuah negara yang bersih daripada rasuah.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam surat terbaharu kepada pengundi Johor berkata, jika perkara itu boleh dilaksanakan, besar kemungkinan situasi sama boleh berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Bekas Perdana Menteri itu menambah, ia sekali gus boleh menamatkan kleptokrasi di negara ini.

"Sebaliknya dunia akan lihat kembalinya Harimau Asia.

"Ini bukan angan-angan. Ini mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia, bermula dengan rakyat Johor.

“Ia akan menepati sejarah perjuangan orang Melayu 60 tahun yang menghasilkan Malaysia merdeka dan maju," demikian tulis Dr Mahathir dalam surat tersebut, pada Jumaat.

SEMUA MENGENAI PRN JOHOR DI SINI

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata seluruh negara sedang memerhatikan PRN Johor, dan panduan yang baik perlu diberikan kepada mereka.

Kata Dr Mahathir lagi, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan menjadi sia-sia sekiranya parti-parti yang sama terutamanya dari segi korupsi dipilih semula.

Dakwa beliau, pertukaran Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga tiada apa-apa kebaikan.

"Jika kita ingin lihat perubahan kita perlu tahu siapa yang bertanding.

"Kita boleh bahagi parti-parti kepada dua kumpulan. Satu kumpulan lama yang telah ditewas dalam PRU14 kerana amat korup dan menghilangkan duit rakyat.

"Kumpulan ini dipimpin oleh (Datuk Seri) Najib yang telah dihadap ke mahkamah dan didapati bersalah, bersamanya ialah Datuk Seri Zahid," ujar Dr Mahathir lagi.

Bagaimanapun, Dr Mahathir menegaskan parti yang melawan pimpinan Najib dan sekutunya ialah parti baharu yang tidak ada sejarah mencuri duit dan salah guna kuasa iaitu Pejuang, selain terdapat juga parti-parti yang kecil.

“Di antara mereka hanya Pejuang yang meletak jumlah calon 42 yang mencukupi untuk diri kerajaan.

"Pejuang dipimpin oleh tokoh lama yang tolak rasuah bersama pemimpin baharu yang juga bersih daripada rasuah. Jika Pejuang dipilih maka akan berlakulah pertukaran, dan pertukaran ini adalah dari yang buruk kepada yang bersih," kata Dr Mahathir.

Dalam masa yang sama, beliau berkata parti-parti yang terlibat rasuah boleh dikenal pasti kerana mereka mendedah kesalahan mereka semasa berkempen.

"UMNO mendedah kesalahan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu, dan PN atau Bersatu dedah korupsi UMNO," tulis beliau.