JITRA: Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, tiada keperluan mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen ketika ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilaksanakan.

Menurut beliau, kepimpinan UMNO perlu mengambil kira keadaan ekonomi rakyat dan kadar jangkitan COVID-19 sekiranya pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan yang diterajui UMNO sejak September lalu hingga kini menjadi percaturan pengundi.

Katanya, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan sebuah kerajaan yang stabil hasil sokongan semua pihak termasuk pembangkang.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO juga perlu mendekati kumpulan profesional yang ketika ini tidak ditangani dengan baik dan tindakan kerajaan kini akan jadi pertimbangan pengundi.

Jelas beliau,  parti Melayu terbesar itu perlu terbuka dan inklusif mendengar kumpulan profesional kerana mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman dan beriltizam memajukan negara.

“Pada pendapat saya untuk mengadakan pilihan raya dalam masa yang terdekat apabila kita merasa kuat tidak boleh meyakinkan… kita kena berfikir banyak aspek yang akan menentukan bahawa UMNO akan dipilih oleh rakyat semula.

“Kalau kita mengadakan pilihan raya ini maknanya mungkin ada risiko-risiko yang kita belum siap sedia,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas meninjau peniaga-peniaga durian di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zaini berkata, UMNO juga tidak boleh terbuai dengan kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Sebaliknya, kata beliau, UMNO kini perlu fokus menawan kembali sokongan pengundi muda dan golongan pertengahan serta profesional atau kumpulan atas pagar.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan UMNO supaya belajar dari sejarah kemenangan besar dua PIlihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang tidak menjadi jaminan kemenangan pada PRU14.

Beliau berkata,UMNO tidak boleh memandang kegagalan pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan (PH) yang mengguris hati banyak pihak itu sebagai modal untuk dapatkan sokongan pengundi.

“Pemimpin UMNO kena sedar macam mana nak perbaiki segala kelemahan, apa yang tidak disukai oleh rakyat dan apa yang disukai oleh rakyat kerana hari ini UMNO mempunyai satu jentera ataupun kerangka pentadbiran yang cukup kuat dan hebat.

“Jadi kita nak memberi imej penjenamaan baharu UMNO. Itu penting supaya rakyat bertambah yakin dengan keputusan yang kita tengok daripada (PRN) Melaka dan Johor itu mencerminkan bahawa rakyat telah menolak bahawa parti-parti gelandangan ini untuk memimpin negara,” ujar beliau lagi.

Dalam konteks proses demokrasi hari ini, Ahmad Zaini berkata, UMNO perlu memahami persekitaran pengundi dengan membuat profil pengundi.

Katanya, pada PRU14, UMNO gagal mendapat undi daripada ahlinya sendiri, sebaliknya, hanya mendapat 32 peratus undian daripada 3.6 juta ahli berdaftar  berbanding 47 peratus pada PRU13.

Berikutan itu, beliau berkata, bagi menghadapi PRU15, undi daripada ahli UMNO perlu diperoleh kembali ditambah dengan usaha mendapatkan sokongan pengundi muda sejajar dengan kebenaran membolehkan mereka yang berusia 18 tahun mengundi.