KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor meminta semua pihak supaya memberi ruang kepadanya untuk memimpin kerajaan negeri bagi membolehkan agenda pembangunan yang dirancang sebelum ini dapat diteruskan demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

Beliau berkata antaranya termasuk pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (2021-2025).

"Perkara yang menjadi keutamaan kerajaan negeri sekarang adalah kemajuan dan kebajikan rakyat Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen ke-2 Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) di sini hari ini.

Rabu lepas Hajiji mengumumkan rombakan Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang menyaksikan beliau melepaskan jawatan Menteri Kewangan negeri kepada Datuk Seri Masidi Manjun, dan tidak memegang sebarang portfolio lain.

Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang dilantik itu terdiri daripada tujuh ahli daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dua daripada Barisan Nasional (BN) dan dua lagi daripada Pakatan Harapan (PH).

Mengulas lanjut berkenaan rombakan berkenaan, Hajiji berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia dilakukan demi kebaikkan negeri Sabah.

Sementara itu, beliau yang juga Canselor UCSF berkata kolej universiti tunggal milik kerajaan negeri menerusi Yayasan Sabah itu telah berjaya mengekalkan tujuan penubuhan asalnya sejak lapan tahun lepas iaitu bagi melahirkan tenaga profesional membanggakan masyarakat dan menyumbang dalam pembangunan negeri.

"Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Petronas dan UCSF yang ditandatangan pada Oktober 2022, mengorak langkah UCSF bagi menawarkan kursus berasaskan minyak dan gas untuk melahirkan lebih ramai pelajar tempatan dalam pelbagai bidang pekerjaan sektor itu," katanya.

Hajiji juga mencadangkan UCSF meluaskan programnya dengan membuka kampus mini di Tawau selaras dengan usaha untuk mengantarabangsakan universiti itu dalam aspek akademik dan penyelidikan.

-- BERNAMA