KUALA LUMPUR:Pas menyeru kepada semua parti politik yang telah diberi amanah untuk membentuk Perikatan Nasional agar memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar kerajaan berfungsi dengan efektif.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jemaah Kabinet yang dianggotai oleh gabungan parti-parti juga diseru untuk bertindak secara kolektif dan memberi fokus pada kesejahteraan rakyat.

"Jemaah Kabinet yang dianggotai oleh parti-parti BN, PN, GPS, PAS dan GRS mestilah bertindak secara kolektif dan bertanggungjawab dengan memberikan keutamaan dan fokus kepada kesejahteraan rakyat, terutama di era sukar di mana semua pihak berusaha bertungkus-lumus bagi menangani penularan semula
pandemik COVI-19 serta langkah memulihkan ekonomi negara yang teruk terjejas." kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan pada Khamis.

BACA: Anwar hanya kemukakan jumlah sokongan, tidak senaraikan sebarang nama - Istana Negara


Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa selepas beliau mendakwa mempunyai majoriti membentuk kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Pas yakin baginda telah bertindak berdasarkan segala kuasa prerogatif dan budi bicara sebagai mana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dan undang-undang negara atas konsep Raja Berperlembagaan.

"Pas merafakkan setinggi-tinggi junjung kasih ke hadapan KDYMM Yang di-Pertuan Agong atas kebijaksanaan dan langkah berhikmah baginda menyelesaikan sebarang kemelut termasuklah politik, sehingga berjaya membawa kepada ketenangan, keharmonian dan kestabilan dalam negara," kata Takiyuddin lagi.