Skip to main content

Politik

Bersama tolak gabungan politik hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan - Rafizi

Rafizi berucap dalam Jelajah Kancil Negeri Perak pada Ahad. -- SINAR HARIAN
Rafizi berucap dalam Jelajah Kancil Negeri Perak pada Ahad.

IPOH: Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak akan menyertai mana-mana gabungan politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan tidak menyertai mana-mana gabungan memberi kebebasan kepada parti itu menentukan strategi sendiri tanpa terikat dengan rundingan atau kompromi politik.

Menurutnya, landskap politik ketika ini menunjukkan pengundi semakin jemu dengan pendekatan gabungan yang dilihat tidak lagi menawarkan pembaharuan yang diharapkan.

"Jadi anda ada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan kini orang mengharapkan satu lagi pusingan gabungan.

"Tetapi saya fikir orang ramai sudah jemu dan penat dengan gabungan.

"Hakikatnya, kita lihat ada sokongan yang mencukupi untuk sebuah parti yang tidak bergabung dengan mana-mana pihak kerana ia membebaskan kita daripada terikat dengan pendirian gabungan," katanya kepada pemberita sempena Jelajah Kancil Negeri Perak di sini pada Ahad.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut menjelaskan bahawa Bersama tidak melihat kewujudan mereka sebagai ‘kuasa ketiga’ seperti yang sering dilabelkan terhadap parti-parti kecil lain.

Sebaliknya kata beliau, istilah berkenaan masih berada dalam kerangka lama yang bergantung kepada pembentukan gabungan politik.

"Hipotesis dan tawaran kami sangat berbeza berbanding parti-parti lain yang mendakwa sebagai kuasa ketiga dalam pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun, Rafizi mengakui masih terlalu awal untuk menilai kekuatan sebenar Bersama memandangkan parti itu baharu ditubuhkan kira-kira tiga minggu lalu.

Jelasnya, tahap sokongan sebenar hanya dapat diukur apabila kempen pilihan raya bermula, selain bergantung kepada kekuatan calon yang ditampilkan.

“Dalam sejarah politik Malaysia, parti baharu pasti berdepan cabaran getir. Jadi saya hanya boleh menilai apabila kempen bermula nanti.

“Setakat ini, kita yakin boleh melalui kempen yang baik dengan tawaran yang berbeza kepada pengundi di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan 1 Ogos depan. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement