KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan terhadap pentadbir laman Facebook rasmi parti susulan kenyataan dan hantaran kontroversi di laman itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata laporan rasmi telah dikemukakan kepada Meta, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Advertisement
Menurutnya, laman tersebut telah diambil alih tanpa kebenaran petang semalam dan kandungan yang dimuat naik adalah tidak sah, tidak mewakili pendirian rasmi parti dan dibuat tanpa kebenaran kepimpinan Bersatu.
“Pihak parti telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat dalam tindakan ini, individu berkenaan merupakan salah seorang pentadbir halaman dan mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin Bersatu yang telah dipecat daripada jawatan semalam,” katanya menerusi kenyataan melalui Facebook miliknya hari ini.
Beliau turut menegaskan, Bersatu memandang serius tindakan ini kerana ia melibatkan pencerobohan akses digital dan penyalahgunaan platform komunikasi rasmi parti, yang boleh mengelirukan ahli serta masyarakat umum.
Tun Faisal turut menyatakan tindakan ini dipercayai melibatkan kesalahan jenayah di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
“Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan hantaran yang mencurigakan dan menunggu kenyataan rasmi daripada saluran komunikasi sah parti.
Sejak semalam, laman Facebook yang telah menjadi lidah rasmi parti itu telah mengeluarkan beberapa kenyatan kontroversi susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin beserta tiga Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu.
Antara kenyataan yang dibuat adalah “Undur Muhyiddin”, “InshaAllah, esok Tan Sri Muhyiddin akan mengumumkan penubuhan kerajaan baru yang akan diterajuinya, Kerajaan Langit”, serta “Macam mana nak jadi PM? FB pun tak boleh uruskan”.