Skip to main content

Politik

Bersatu harus sertai gabungan politik atau berisiko hilang semua kerusi - Penganalisis

61579676454_BERSATU.jpg
Mazlan turut berpandangan Bersatu masih mempunyai nilai di mata gabungan politik seperti PH dan BN serta mampu menarik sejumlah pengundi. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus menyertai gabungan politik dan tidak bergerak sendirian atau solo untuk kekal relevan dan menang dalam pilihan raya akan datang.

Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali berpandangan Bersatu akan hilang semua kerusi ditandingi jika bergerak sendirian tanpa melibatkan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jika Bersatu pergi secara solo, dia tak ada lagi sokongan Pas, jadi kemungkinan akan hilang semua tempat yang ditandingi.

“Bersatu kena sertai coalition (gabungan), sama ada melibatkan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Hubungan Pas dan Bersatu

Menurut Mazlan, hubungan antara Pas dan Bersatu dalam PN ketika ini dilihat berdepan krisis yang berpotensi mengubah kedudukan Bersatu dalam gabungan yang diasaskannya itu.

Jelasnya, Pas dilihat mengambil pendekatan mesra terhadap bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga pengasas gerakan ‘Reset’ pada 24 April lalu.

“Hamzah mengambil sikap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku musuh utama, manakala Muhyiddin pula tidak membenarkan ‘Reset’ Hamzah sertai PN,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan antara Muhyiddin bersama 11 ketua parti pembangkang pada tahun lalu, Mazlan berpandangan parti-parti tersebut tidak memberi kekuatan kepada Bersatu.

“Parti-parti ini kalau masuk gabungan tentu akan menuntut beberapa kerusi namun mereka tidak ada kekuatan,” katanya.

Bersatu di mata lawan

Pada masa sama, Mazlan berkata Bersatu masih mempunyai nilai di mata gabungan politik seperti PH dan BN serta mampu menarik sejumlah pengundi.

“Mereka (BN dan PH) memandang Muhyiddin mempunyai nilai, tidak melihatnya ibarat parti-parti kecil yang lain,” katanya.

Walaupun terdapat khabar angin mengenai pertemuan antara pemimpin Bersatu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dakwaan itu telah dinafikan oleh kepimpinan parti berkenaan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam menafikan khabar angin tersebut sambil menegaskan ia tidak berasas, selain menekankan komitmen Bersatu untuk terus mempertahankan muafakat politik dalam PN.

Faktor Bersatu dalam PN

Mazlan turut berpandangan faktor Bersatu merupakan pemangkin kekuatan Pas dan PN bertambah besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Pada PRU-15, Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri sebagai poster boy dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menubuhkan kerajaan sehingga PN mampu memenangi 74 kerusi,” katanya. 

Namun Mazlan tidak menafikan kemungkinan Hamzah akan membentuk jajaran baharu bersama Pas berdasarkan sokongan teras sedia ada.

“Selepas apa yang berlaku dalam PN di mana Bersatu ada kemungkinan tersingkir dan Hamzah akan menjadi jajaran baharu dengan Pas,” katanya lagi.

Must Watch Video

Advertisement