POLITIK
Bersatu jangka PRU16 tahun depan, PAT ke-8 jadi medan penting

Mohamed Azmin berkata PAT Bersatu menjadi platform penting untuk menilai prestasi jentera, memperkukuh latihan dan merangka kerjasama strategik bersama parti komponen PN - Foto fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan diadakan pada tahun hadapan, kemungkinan serentak dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ringkasan AI
- Bersatu menjangkakan PRU16 akan diadakan tahun hadapan, didorong oleh dakwaan kelemahan pentadbiran Kerajaan MADANI dalam menangani isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
- Mohamed Azmin menyatakan PAT Bersatu ke-8 menjadi platform penting untuk persiapan PRU, termasuk penilaian jentera dan kerjasama strategik bersama komponen PN.
- Setakat ini tiada perbincangan rasmi mengenai kerjasama politik, namun gabungan pembangkang kekal fokus kepada isu rakyat melalui pendekatan konsensus longgar.
"Dalam perbicaraan kita, banyak faktor yang menyumbang kepada andaian (PRU16) bahawa Kerajaan MADANI pada hari ini memerlukan mandat baharu memandangkan banyak kegagalan yang telah kita saksikan.
"Pertama, kegagalan menguruskan isu-isu ekonomi termasuk kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan.
"Begitu juga isu yang banyak diperkatakan pada hari ini seperti Akta Pembaharuan Semula Bandar, kes buli, dan keadaan ini amat mendesak untuk Kerajaan Madani mendapat mandat baharu bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran negara pada masa yang akan datang," katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 di sini, pada Selasa.
Dalam konteks persiapan menghadapi PRU16, Mohamed Azmin berkata PAT Bersatu menjadi platform penting untuk menilai prestasi jentera, memperkukuh latihan dan merangka kerjasama strategik bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa Ucapan Dasar Presiden akan menghuraikan hala tuju parti dalam menghadapi cabaran PRU yang akan datang.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, tumpuan semasa gabungan parti-parti pembangkang adalah untuk membina konsensus dalam menangani isu-isu rakyat.
Setakat ini, katanya belum ada sebarang perbincangan rasmi untuk membentuk kerjasama politik.
"Kita telah jemput semua tetapi seperti yang telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, buat masa ini ia merupakan sebuah gabungan longgar untuk memberi tumpuan dan fokus kepada isu-isu yang melibatkan rakyat," ujar beliau.
Sementara itu, Mohamed Azmin memaklumkan bahawa PAT Bersatu ke-8 akan berlangsung pada 6 hingga 7 September ini di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.
Ia akan dirasmikan oleh Muhyiddin, selaku Presiden Pengasas parti, pada jam 8.30 malam, 6 September.
Seramai 2,555 perwakilan dari 202 bahagian seluruh negara dijangka hadir dalam PAT kali ini.
"Ibu Pejabat telah menghantar 94 jemputan yang terdiri daripada wakil-wakil kedutaan, pimpinan tertinggi parti-parti anggota PN, parti-parti sahabat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Saya telah menerima pengesahan kehadiran daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa tetamu lain," ujar beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami