KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengambil keputusan untuk memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Lapor Sinar Harian, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin ketika dihubungi hari ini.

Hasnul yang kini menjadi wakil rakyat bebas telah dipecat daripada parti itu selepas persidangan Dun pada 4 Disember tahun lalu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar selepas gagal mendapat sokongan percaya.

Pemecatan itu juga difahamkan berpunca daripada tindakannya yang menyokong Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.

Menurut Zainol Fadzi lagi perkara itu sudah jelas berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam laporan media sebelum ini.

Bagaimanapun, Hasnul memaklumkan bahawa beliau tidak menerima sebarang surat mengenai perkara pemecatan tersebut dan hanya mengetahui perkara itu daripada laporan media.

Beliau bagaimanapun menerima keputusan itu dan tidak berhasrat untuk membuat sebarang rayuan atau menyertai mana-mana parti ketika ini.