KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal memulakan proses penyusunan semula bahagian-bahagian parti serta pemegang jawatan ketua dan ahli jawatankuasa sayapnya.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, sebuah Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi melaksanakan proses berkenaan.
Advertisement
Pasukan itu dipengerusikan bersama oleh dua Naib Presiden, Datuk Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, manakala Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula dilantik sebagai sekretariat pasukan khas tersebut.
“Ketua-Ketua Badan Pimpinan Negeri turut diarahkan untuk mengenal pasti bahagian yang terlibat dalam penyusunan semula ini. Proses akan melibatkan penilaian semula kedudukan jawatan Ketua Bahagian dan pembentukan jawatankuasa bahagian yang baharu, mengikut keperluan serta perkembangan parti.
“Sayap-sayap parti yang terlibat dengan peletakan jawatan akan disusun semula melalui pertimbangan parti dan pembentukan jawatankuasa yang baharu. Saya yakin ” katanya dalam kenyataan itu.
Muhyiddin berkata, Bersatu juga memberi penekanan kepada kelayakan ahli dari setiap bahagian untuk mengetuai sayap parti, bagi memastikan pelantikan dibuat secara merit serta menepati keperluan organisasi.
Beliau menegaskan bahawa parti memerlukan “pasukan yang segar” untuk mengemudi perjuangan menuju Pilihan Raya Umum ke-16.
Selain itu Muhyiddin berkata, Bersatu akan terus komited dengan perjuangan Perikatan Nasional. Sehubungan itu, tambahnya lagi, beliau akan hadir ke Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat Pas pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, Mesyuarat PN itu akan membincangkan dua agenda utama, iaitu meluluskan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN, dan melantik pengerusi baharu bagi mengisi kekosongan yang wujud sejak Januari lepas.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan bahawa semua empat parti komponen PN - Pas, Bersatu, Gerakan dan MIPP - telah bersetuju hadir, dengan Muhyiddin sendiri serta Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, antara yang mengesahkan kehadiran.
Bagi memastikan proses berjalan secara berkecuali, seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi PN akan mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Sebelum ini terdapat perbincangan dalaman berhubung parti mana yang akan mengetuai PN, namun laporan menyebut semua parti kini bersetuju jawatan pengerusi diserahkan kepada Pas.