KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan dukacita serta simpati atas pemergian anggota tentera Truper K.Indiran yang meninggal dunia pada Khamis lepas.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap agar mereka tabah serta sabar menghadapi ujian yang amat berat itu.
Advertisement
Baginda berdua juga berharap keluarga mendiang terus cekal dan bersatu hati, serta menyerahkan segala urusan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
“Paduka Baginda berdua menegaskan bahawa pengorbanan anggota keselamatan negara sentiasa dihargai dan dikenang,” menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.
Sultan Pahang dan Tengku Ampuan turut menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti mendiang kepada negara serta berharap keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketenangan dan dipermudah segala urusan dalam menghadapi saat yang sukar ini.
Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10 di sini ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Feb sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.
Mendiang yang juga anak sulung daripada empat beradik itu telah dikebumikan di Tanah Perkuburan India Batu Lanchang, Pulau Pinang hari ini, bersebelahan pusara bapanya juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar C. Kayamboo yang maut dalam nahas pesawat Beechcraft B200T pada 2016.
-- BERNAMA