Bersatu tak sabotaj Pas di Perlis, Muhyiddin nafi tuduhan pengkhianat

Muhyiddin ketika ditemui media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor, malam tadi.
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya parti itu terlibat dengan krisis politik yang melanda negeri Perlis.
Muhyiddin berkata, Bersatu tidak memainkan peranan dalam mensabotaj Pas di Perlis dan dakwaan sebagai pengkhianat adalah tidak betul.
"Kita tidak buat apa-apa. Saya dan parti tidak terlibat dengan perkara ini. Banyak pihak yang ada di Perlis mengaku bahawa kami tidak terlibat.
"Bila mana keputusan telah dibuat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, kuasa mutlak Raja Perlis kita mesti hormati," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, Selangor.
Sebelum ini, krisis politik Perlis bermula selepas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu bersama tiga ADUN Pas dilaporkan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak Istana bagi menggantikan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Pada 26 Disember lalu, Bersatu telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Pas kemudiannya mengemukakan dua nama calon sebaik Bersatu berbuat perkara sama.
Langkah itu dibuat selepas Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatannya secara sukarela sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan pada 25 Disember lepas.
Kemelut itu terjawab apabila ADUN Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis kesembilan pada Ahad.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Katanya, sebab dan musabab keputusan itu dibuat telah diperjelaskan secara terperinci kepada ahli yang terlibat.
"Macam-macam pandangan dan saya hormati tapi keputusannya akhirnya pada saya sendiri. Tapi apapun, nanti bila sampai mesyuarat, perkara itu akan diputuskan dan dimuktamadkan.
"Saya tidak akan jelaskan sehingga mesyuarat PN diadakan nanti. Tarikh tidak tahu, mungkin dalam masa terdekat ini.
"Saya dengar bahawa Timbalan Setiausaha Agung PN akan mengeluarkan surat untuk mesyuarat ini, " jelasnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


