Perhimpunan Bersih 4.0 pada hujung minggu ini mampu mempengaruhi masyarakat untuk menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang, kata bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press (NSTP) Datuk A. Kadir Jasin.

Namun, Tokoh Wartawan Kebangsaan itu berkata, jika harapan bahawa perhimpunan 34 jam bakal menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan, ia tidak akan berlaku.

Kadir juga berpendapat perhimpunan pada Sabtu dan Ahad ini tidak akan mencetuskan perubahan kepimpinan kerajaan, seperti yang diharapkan oleh banyak pihak.

"Saya melihat kalau tujuan kita mengharapkan Bersih pada Sabtu dan Ahad ini (untuk) jatuhkan Najib, ia tidak akan berlaku. Tunjuk perasaan, protes jalanan, tidak akan mengubah Najib.

"Beliau tidak akan berhenti semata-mata kita (rakyat) berpanas, berpeluh, tunjuk perasaan. Beliau tidak akan berhenti. Sebab kalau beliau nak berhenti, beliau sudah pun berhenti.

"Walau bagaimanapun, perhimpunan ini berkemungkinan akan mempengaruhi pilihan parti pemerintah rakyat pada pilihan raya akan datang," kata beliau forum "Protes Rakyat atau Dewan Rakyat" anjuran portal Malaysiakini di Petaling Jaya pada Rabu malam.

Di antara ahli panelis lain dalam forum tersebut adalah bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah, Gan Peng Sieu dan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah.

Sementara itu, bekas timbalan menteri, Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan rakyat Malaysia sudah penat diperbodohkan, dileter dan dibangsatkan.

"Dari segi rakyat, sekarang ini ada satu kekecewaan, kemarahan, terkumpul perasaan-perasaan yang sedemikian rupa dan ada banyak sebab.

"Dahulu ketika seorang timbalan perdana menteri dipecat, pada masa itu rakyat lihat ia sebagai isu politik, hari ini bila seorang lagi timbalan perdana menteri dipecat, rakyat tidak lihat ia sekadar isu politik. Ia bukan lagi isu politik, ia melampaui politik," katanya merujuk kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tahun ini.

"Di kalangan rakyat dilihat seperti ada satu garis sesama rakyat di mana kebijaksanaan rakyat dihina, rakyat serik dileter, diperbodohkan, dan akhir-akhir ini dibangsatkan," katanya lagi.

Perhimpunan Bersih 4 yang akan diadakan pada hujung minggu ini telah diisytiharkan sebagai haram oleh pihak polis berikutan kegagalan penganjur memberi notis yang lengkap kepada pihak berkuasa.