Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Ramli Mohd Nor menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan pemberian wang kepada Orang Asli.

Ini susulan gambar wanita yang memakai baju Pakatan Harapan mengedarkan wang kepada Orang Asli Cameron Highlands tular di media sosial pada Ahad.

Kata Ramli, beliau enggan mengulas lanjut dan ingin membiarkan gambar berbicara agar pengundi Cameron Highlands dapat membuat penilaian sendiri.

"Dalam hal ini, gambar bercerita sendiri. Memandangkan ada laporan polis dibuat, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya ketika ditemui pemberita di Sungai Ruil, di sini.

Pada petang Ahad, Pemuda Barisan Nasional (BN) membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala Pemuda UMNO Pahang membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Koyan berkenaan dakwaan yang sama.

BACA: Wang itu untuk bayar balik kos petrol - PH

BACA: 'Saya tidak tahu tentang isu pengagihan wang kepada Orang Asli' - Manogaran

Satu lagi laporan polis turut dibuat oleh Pemuda MIC Kebangsaan di Balai Polis Tanah Rata.

Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet dalam satu kenyataan hari ini tidak menolak dakwaan tersebut.

Jelas beliau, wang yang diagihkan itu adalah wang pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan PH yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.