KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyerahkan kepada masa bagi menentukan nasib serta masa depan Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan kerjasama antara parti Pas dan UMNO.

Menurutnya, beliau sentiasa berpegang kepada "the art of possibility" atau seni kepada segala kemungkinan di dalam berpolitik.

Ia memandangkan wujud keadaan di mana apa yang direncanakan sebelum ini tidak menjadi dan apa yang tidak pernah direncanakan pula menjadi.

"Jadi (untuk ketika ini) masa akan menentukan (nasib MN), (ini merupakan salah satu) seni kepada segala kemungkinan, jadi sama ada (Presiden Pas), Tan Sri Abdul Hadi (Awang) bercakap atau sama ada kepimpinan UMNO bercakap (mengenai kedudukan MN), saya ingat masa akan menentukan keadaan itu,

"Masa itu menentukan (masih ada kerjasama Pas dan UMNO selepas ini). Kalau ikut Haji Hadi macam sudah tiada (kerjasama), setengah daripada pemimpin UMNO bila bercakap (pun) macam sudah tidak ada, tapi (atas strategi) seni kepada segala kemungkinan ini, kita biarlah masa itu menentukan.

"Kalau sudah tidak ada, tiada lah (kerjasama), hendak buat macam mana, kalau (masih) ada, kita (juga perlu) terima, saya mudah saja, (kita perlu ada) pemikiran yang kritis (atau) critical thinking (dalam hal ini)," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap pada Ahad.

Rabu lalu, UMNO Terengganu optimis dapat menawan kembali negeri itu sekali gus merampas tampuk pimpinan kerajaan Pas.

Timbalan Pengerusi UMNO negeri, Datuk Din Adam berkata, aras keyakinan itu berpandukan keinginan yang dilontar dan disuarakan oleh rakyat di negeri berkenaan.

Katanya, kesediaan UMNO Terengganu untuk merampas pentadbiran negeri itu daripada pimpinan Pas juga seiring dengan pendirian parti berkenaan yang ingin bertanding solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO, MCA dan MIC membuat keputusan untuk bergerak solo di dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka yang mana ianya disifatkan sebagai langkah tepat apabila memenangi 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN yang ditandingi.