Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg menyifatkan isu lompat parti bukanlah sesuatu perkara yang baharu dan akan membiarkan isu tersebut dinilai oleh rakyat sendiri.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata akan mengadakan perbincangan bersama ahli GPS bagi mencari jalan penyelesaian isu tersebut.

"Biar kami berbincang dengan rakan GPS kami, kerana kami adalah rakan kerjasama, maka kami menjaga sesama sendiri. Biarkan rakyat menilai. Anda tahu ini adalah masalah yang diwarisi, maka saya perlu cari penyelesaian," kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu lompat parti membabitkan 14 bekas pemimpin dan ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) di Kuching pada Jumaat.

Mereka ialah Datuk Joseph Entulu Belaun, Datuk Masir Kujat, Datuk William Nyalau Badak, Richard Wil Uban, Datuk Kristoffer Nyuak Bajok, Raymond Bullie, Vivien Nyut Nasat, Assan Ngang, Ali Adap, Andrew Lamit, Edward Kurik, Andrew Winston Kaya, penghulu Michael Derin dan Patrick Sibat Sujang.

Turut menyertai PSB ialah bekas ADUN Marudi, Datuk Sylvester Entri Muran dan pemangku Presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Banyi Beriak.

PRS merupakan salah komponen daripada GPS selain Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Malah Presidennya, Tan Sri James Jemut Masing ketika dihubungi akur dengan keputusan yang diambil oleh bekas ahlinya itu.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan tindakan kumpulan yang meninggalkan parti itu sebagai tidak tahu berterima kasih.