POLITIK
BN enggan terheret dengan kenyataan pihak tertentu - Zambry

Barisan Nasional tidak mahu terjebak dalam budaya politik saling membalas kenyataan, kerana ia bukan pendekatan yang diamalkan oleh gabungan itu, kata Zambry. - Gambar fail Bernama
TAWAU: Barisan Nasional (BN) menegaskan, gabungan itu tidak akan terheret dalam sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak berhubung isu kerjasama politik di Sabah, khususnya melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) tanpa penglibatan BN.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, keutamaan kini adalah memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara, dan bukannya terjebak dalam polemik kenyataan balas yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
"BN tidak akan membuat kenyataan-kenyataan seperti itu kerana perkara yang paling mustahak ialah memastikan Barisan Nasional kekal fokus. Seperti diumumkan sebelum ini, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan bersama," katanya.
Menurut beliau lagi, BN tidak mahu terjebak dalam budaya politik saling membalas kenyataan, kerana ia bukan pendekatan yang diamalkan oleh gabungan itu.“Kita tidak akan membuat sebarang kenyataan-kenyataan yang berbentuk begitu kerana yang paling mustahaknya ialah Barisan Nasional.
"Dan seperti yang telahpun diumumkan sebelum ini, Barisan Nasional dan PH akan bersama. Tidak bermakna kita tidak membuka ruang untuk kerjasama lain, kerana asas kepada kerjasama ini adalah persefahaman bersama.
"Untuk peringkat ini, kita tidak mahu terheret dengan pelbagai kenyataan mana-mana pihak. Yang mustahaknya ialah keputusan yang tuntas dan mantap, demi memastikan politik negeri Sabah kekal stabil. Saya tidak mahu ambil pendekatan reaksi spontan - orang ini kata itu, kita balas. Itu bukan cara Barisan Nasional.”
Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Pimpinan Zon Enam UMNO Sabah di Pejabat UMNO Kalabakan, malam tadi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami