PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata hasrat itu disuarakan Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang bertekad mengekalkan penguasaan BN di kerusi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata BN kekal terbuka untuk mengadakan perbincangan dan menjalin persefahaman dengan mana-mana pihak bagi menghadapi pilihan raya itu.
“Daripada 28 kerusi DUN di Melaka, Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Melaka memaklumkan kepada saya bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenangi BN.
“Sudah tentu akan ada musyawarah melibatkan semua pihak dan seperti yang dinyatakan Ketua Menteri Melaka, beliau amat terbuka dalam perkara ini.
“Kepimpinan BN di peringkat pusat juga akan dirunding sebelum keputusan muktamad dibuat berhubung sebarang bentuk persepakatan atau persefahaman yang bakal dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.