Tan Sri Musa Aman, bersama gabungan seramai 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan membawa kes pembubaran dewan negeri oleh Tuan Yang Terutama (TYT) ke mahkamah esok.

Kesemua wakil rakyat berkenaan telah membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN, baru-baru ini.

Untuk rekod, pada 30 Julai lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubar selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal difahamkan mendapat perkenan daripada Juhar.

Permohonan tersebut telah difailkan oleh firma guaman FT Ahmad & Co pada Isnin lalu dan dijangka akan didengari pada esok oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Leonard Chin.

Menurut sumber, peguam kepada kesemua ADUN akan berhujah tentang TYT tidak sepatutnya membubarkan DUN selaras dengan Artikel 21(2) Perlembagaan Sabah dan juga Artikel 7(1) di mana seorang ketua menteri telah kelihangan sokongan majoriti.

Wakil rakyat yang membuat permohonan itu adalah terdiri daripada Tan Sri Musa Aman (Sungai Sibuga), Datuk Bolkiah Ismail (Pitas), Julita Mojungki (Matunggong), Datuk Anita Baranting (Tandek), Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Jahid Jahim (Tamparuli), Datuk Hajiji Mohd Noor (Sulaman), Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu), Kenny Chua (Inanam), Datuk Ghulam Haider Khan (Kawang), Datuk Mohd Ariffin Ariff (Membakut), Datuk Isnin Aliasnin (Klias), Datuk Limus Jury (Klias), Datuk Matbali Musah (Sindumin), Datuk Dr Joachim Gunsalam (Kundasang), Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Abidin Madingkir (Paginanatan), Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Tambunan), Robert Tawik (Bingkor), Jamawi Jaafar (Kemabong), Datuk Ellron Angin (Sook), Bobbey Ahfang Suan (Nabawan), Datuk James Ratib (Sugud), Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Datuk Masiung Banah (Kuamut), Datuk Saddi Abdul Rahman (Sukau), Datuk Niuzam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Hamisa Samat (Tg Batu), Datuk Abdul Muis Picho (Sebatik), Datuk Osman Jamal (Balung) serta dua ADUN lantikan, Ronnie Loh dan Jaffari Waliam.

Kesemua 33 ADUN tersebut telah menamakan Juhar sebagai responden pertama, diikuti Mohd Shafie, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri.

Difahamkan sesi di mahkamah pada esok akan bermula pada sebelah pagi atau petang, bergantung kepada perkembangan semasa.

Terdahulu, pada 29 Julai lalu, Musa mendakwa telah berjaya memiliki 32 surat akuan bersumpah daripada wakil-wakil rakyat untuk memilihnya sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Bagaimanapun, cubaan gabungan 33 ADUN itu gagal selepas gagal mengadap TYT yang kemudiannya memberi perkenan kepada Mohd Shafie untuk memberi laluan pembubaran DUN dan seterusnya mengadakan PRN, dalam tempoh 60 hari bermula 30 Julai.