KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai budi bicara untuk memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang pembubaran Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bercakap kepada sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, ia merupakan amalan semenjak Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957, dan kemudian terbentuknya Malaysia pada 1963.

Biarpun Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang definisi Jemaah Menteri dan Menteri di bawah Kuasa Am Jemaah Menteri dalam hal menasihati Yang di-Pertuan Agong, Wan Junaidi berkata, ia harus dibaca dengan Perkara 39.

“Kalau kita lihat Perkara 39 - Kerajaan Malaysia ini ditadbir oleh YDP Agong. Duli Tuanku tidak mentadbir sendiri, tetapi menerusi Jemaah Menteri, dan Jemaah Menteri sebelum jadi Jemaah Menteri, Tuanku di bawah perkara 40 perlu melantik Perdana Menteri dahulu.

“Selepas dilantik Perdana Menteri, dia akan pengerusi Jemaah Menteri, jadi maknanya kuasa Jemaah dengan Perdana Menteri ‘is diluted’ sebegitu rupa. Itu kenapanya kita lihat amalan Merdeka dari Malaya dulu hingga Malaysia pada 1963, Perdana Menteri tak pernah bincang dengan sesiapa untuk berhadapan, melainkan mungkin dengan pemimpin tertentu,” katanya lagi.

Bagaimanapun Wan Junaidi menegaskan, keputusan untuk membubarkan Parlimen masih terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau kita lihat proses dan prosedur, tetapi apabila Perdana Menteri sebagai pemimpin Kabinet telah berjumpa dengan YDP Agong, saya cukup yakin keputusan itu adalah keputusan Agong, nak bubar atau tidak.

“Duli Tuanku boleh tidak, atau menangguhkan permohonan dari Perdana Menteri. Kalau ini berlaku itu adalah keputusan daripada Agong. Kalau tak faham cakap saya, saya tak mahu cakap lain, itu saja saya boleh beritahu,” katanya lagi.